13 February 2010

Aduan rakyat

Sebagai permulaan, aku nak share komen/aduan aku yg tersiar dlm Berita Harian 14 Oktober 2008.

BERITA HARIAN - 14 OKT 2008

Wilayah Jengka kerap putus air


MEMUALKAN. Itulah perkataan sesuai bagi menggambarkan masalah bekalan air di Wilayah Jengka, Pahang. Malah, masalah bekalan air yang kerap kali terputus di Jengka ini bukan isu baru, bahkan menjadi ‘tradisi’ sejak puluhan tahun lalu dan ia menjadi lebih buruk, terutama menjelang hari perayaan dan cuti umum.

Krisis bekalan air terbaru di wilayah itu pada Aidilfitri lalu berlaku sudah seminggu sebelum perayaan. Masalah menjadi lebih buruk menjelang 1 Syawal.

Bayangkan betapa keadaan menjadi amat gawat dengan bekalan air yang kerap terputus dengan bilangan ahli keluarga yang ramai (anak dan cucu pulang ke kampung halaman).

Saya sedih memikirkan kesukaran memandikan jenazah ketika ketiadaan bekalan air baru-baru ini.

Bahkan, ada ibu bapa yang terpaksa menghalang hasrat anak dan cucu mereka pulang berhari raya di kampung selepas memikirkan kesukaran yang akan dihadapi. Saya juga sedih memikirkan keadaan keluarga yang terpaksa menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba sukar kerana ketiadaan air.

Cuba bayangkan keadaan keluarga kami di kampung yang perlu mengharungi hari tua mereka di kampung dengan masalah sedemikian. Janganlah dibisikkan di telinga mereka untuk mendapatkan bekalan air di sungai atau perigi kerana negara ini sudah lama merdeka.

Bagi menangani krisis bekalan air, banyak keluarga terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli bekalan air bersih dari pasar raya, set pinggan mangkuk serta cawan ‘pakai dan buang ’.

Apalah ertinya wang ehsan Aidilfitri berjumlah RM400 yang diberikan kepada peneroka Felda baru-baru ini jika kesusahan seumpama itu perlu kami hadapi.

Saya meminta Jabatan Bekalan Air Pahang memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Wilayah Jengka dengan memberi sebab bekalan air ini kerap putus.

Seterusnya pelan jangka pendek dan jangka panjang wajar dihebahkan bagi meringankan bebanan yang terpaksa kami pikul selama ini. Bekalan air yang kami nikmati selama ini bukan benar-benar bersih.

Banyak keladak dan kekotoran lain yang hadir secara ‘pakej’ barangkali. Kami percaya kerancakan dan kehangatan pemilihan parti peringkat Pusat pada Mac 2009 ini tidak menjejaskan fokus serta pertimbangan pemimpin kami ini khususnya dalam menangani krisis bekalan air di sini.

Seluruh warga Wilayah Jengka menantikan penyelesaian masalah bekalan air ini secara komprehensif dan berkekalan.



AZHAR OMAR
Anak Peneroka Jengka 6

No comments:

Post a Comment